Thursday, December 8, 2011

NOTA PENTING PENGGUNAAN PENJODOH BILANGAN

NOTA PENTING PENGGUNAAN PENJODOH BILANGAN

1. Dari segi penggunaan, penjodoh bilangan hanya digunakan kepada kata nama konkrit yang dibilang dengan menggunakan kata bilangan tentu, kata bilangan himpunan dan kata bilangan tak tentu beberapa sahaja.

Contoh:
1. Tiga batang pokok itu perlu ditebang.
2. Beberapa buah kerusi itu perlu dibaiki.
3. Kedua-dua batang anak sungai itu telah tercemar.


2. Dari segi penggunaan, benda abstrak tidak perlu diletakkan penjodoh bilangannya.
Contoh:
1.a) Kata Zul, “Sebuah pertunjukan sarkas akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada penghujung bulan ini.”(X)

b)Kata Zul, “Satu pertunjukan sarkas akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada penghujung bulan ini.”(√)


3. Dari segi penggunaan, elakkan daripada melakukan kesalahan-kesalahan seperti yang berikut.
1. Kesalahan kerana tidak meletakkan penjodoh bilangan kepada kata nama konkrit yang dibilang dengan kata bilangan tentu.
Contoh:
1.a) Tiga jarinya kudung. (X)
b) Tiga batang jarinya kudung. (√)

2.a) Lima burung itu berbulu lebat. (X)
b) Lima ekor burung itu berbulu lebat. (√)

2. Kesalahan kerana tidak meletakkan penjodoh bilangan kepada kata nama konkrit yang dibilang dengan kata bilangan himpunan.
Contoh:
1.a) Kedua-dua buku itu masih elok. (X)
b) Kedua-dua buah buku itu masih elok. (√)

2.a) Keempat-empat kotak itu penuh berisi emas. (X)
b) Keempat-empat buah kotak itu penuh berisi emas. (√)

3. Kesalahan kerana meletakkan penjodoh bilangan pada kata nama konkrit yang dibilang dengan Kata bilangan tak tentu.
Contoh:
1.a) Banyak buah rumah di kawasan itu didirikan secara haram. (X)
b) Banyak rumah di kawasan itu didirikan secara haram. (√)

2.a) Semua batang pokok di tepi jalan itu akan ditebang. (X)
b) Semua pokok di tepi jalan itu akan ditebang. (√)

No comments:

Post a Comment